3R: RISALAH RINGKAS RAMADAN


Ramadan datang lagi, terasa Ramadan tahun lepas baru saja berlalu. Kita bersyukur kepada Allah kita masih lagi diberi peluang olehNyauntuk menjalani ibadah puasa pada tahun ini.
Kedatangan Ramadan sangat dinanti-nantikan oleh setiap orang Islam diseluruh dunia kerana ia adalah bulan yang penuh kemuliaan, keberkatan dan keampunan.

Alangkah beruntungnya jika kita sudah memasang niat untuk melakukan segala ketaatan dan meninggalkan segala kemaksiatan dibulan yang mulia ini. Niat yang baik ini jika dilaksanakan dengan penuh keikhlasan kepada yang Maha Pemurah sudah pasti kita akan dibalas dengan kebaikan olehNya.

Puasa yang sempurna dan diredhai Allah bukan sekadar menahan diri daripada makan, minum dan segala yang membatalkan puasa, tetapi hendaklah juga memelihara segala anggota badan dan pancaindera daripada melakukan sesuatu yang boleh mecacatkan pahala puasanya.
Maka, sesiapa yang melakukan puasa dengan penuh keimanan dan pengharapan, nescaya diampunkan dosanya yang lepas. Amin...


PENGERTIAN PUASA :
Puasa ialah menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan, minum dan selainnya dari terbit fajar hingga terbenam matahari, disertai dengan niat dimalam hari.

SYARAT WAJIB PUASA :
1. Islam 2. Baligh
3. Berakal 4. Mampu untuk berpuasa


RUKUN PUASA
1. Niat
- Niat didalam hati, tidak disyaratkan melafazkan niat secara lisan.
- Waktu niat ialah pada waktu malam, antara maghrib dan subuh.
- Wajib berniat pada tiap-tiap malam, seperti berkata didalam hati : ”sahaja aku berpuasa esok hari bagi menunaikan fardu bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah ta’ala”.
- Peringatan : sesiapa yang tidur diwaktu malam tanpa berniat, jika dia bangun selepas terbit fajar. Dia tidak boleh berpuasa, akan tetapi dia wajib menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa pada hari tersebut dan dia juga wajib menggada’ puasanya itu.

2. Menahan diri daripada makan dan minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar sehingga terbenam matahari.

ANTARA PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA

1. Makan dan minum dengan sengaja walaupun sedikit.
2. Mengeluarkan muntah dengan sengaja, jika tidak sengaja puasa tidak batal.
3. Memasukkan sesuatu benda kedalam rongga badan (dari laluan yang terbuka seperti mulut, hidung, telinga, qubul dan dubur). Manakala menitiskan cecair kedalam mata tidak batal. Begitu juga menyuntik di badan tidak batal.
4. Jimak pada siang hari.
5. Keluar air mani dengan sengaja.
6. Pengsan sepanjang hari dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Akan tetapi jika pengsan bukan sepanjang hari, puasa tidak batal.
7. Gila walaupun sekejap.
8. Datang haid atau nifas bagi perempuan.
9. Murtad

Perhatian !
Perkara-perkara berikut tidak membatalkan puasa :-
- Menghidu makanan.
- Debu-debu jalan yang masuk mulut.
- Menelan air liur.
- Meludah
- Asap yang masuk dalam rongga, akan tetapi orang yang merokok batal puasanya.

SIAPAKAH YANG HARUS BERBUKA PUASA?

1. Orang sakit, yang memudaratkan dirinya jika dia berpuasa.
2. Orang yang musafir (jarak perjalanan yang membolehkan solat qasar iaitu sampai dua marhalah). Perjalanan musafir itu hendaklah pada perkara-perkara kebaikan sahaja seperti musafir kerana menziarahi kaum keluarga, musafir kerana urusan perniagaan dan sebagainya. Orang yang musafir boleh berbuka (tidak puasa) meskipun perjalanan itu tidak memenatkannya.
3. Wanita hamil dan menyusukan anak.


SIAPAKAH YANG TIDAK DIWAJIBKAN PUASA?

1. Orang tua yang sangat uzur, yang tidak mampu untuk berpuasa.
2. Orang sakit yang tidak boleh sembuh.
(Perhatian : kedua-duanya tidak perlu qada’ tetapi perlu membayar fidyah).


APAKAH PERKARA-PERKARA SUNAT DIBULAN PUASA?

1. Melambatkan makan sahur.
2. Menyegerakan berbuka puasa setelah masuk waktunya.
3. Berbuka puasa dengan buah kurma
4. Bersedekah
5. Membaca al-Quran
6. Solat terawih
7. Memperbanyakkan zikir dan istighfar.
8. Beriktikaf di masjid


APAKAH YANG WAJIB DILAKUKAN OLEH ORANG TIDAK BERPUASA DIBULAN RAMADAN?
Terdapat 4 keadaan :-
1. Qada’(ganti) sahaja iaitu bagi :
- orang yang berbuka(tidak berpuasa) kerana sakit,
- orang yang berbuka(tidak puasa) kerana musafir,
- wanita yang datang haid dan nifas,
- orang yang tidak puasa tanpa uzur dan bukan kerana jima’,
- wanita hamil dan menyusukan anak yang berbuka puasa kerana takut memudaratkan diri mereka.
2. Qada’ serta fidyah :
- wanita hamil dan menyusukan anak yang berbuka puasa kerana takut memudaratkan anak dalam kandungan serta anak yang menyusu.

3. fidyah sahaja :
- Orang tua yang uzur yang tidak mampu berpuasa.
- Orang sakit yang tidak boleh sembuh lagi.
4. qada’ serta kaffarah :
- orang yang melakukan jima’(persetubuhan) pada siang hari dengan sengaja (dia tidak lupa).

HARI-HARI YANG DIHARAMKAN (TIDAK BOLEH) BERPUASA
1. Hari raya Aidilfitri ( 1 syawwal )
2. Hari raya Aidiladha ( 10 Zulhijjah )
3. Hari tasyriq, (11,12,13 Zulhijjah).
4. Hari syak dan separuh akhir bulan sya’ban, kecuali apabila menyambung puasa dengan hari-hari sebelumnya atau puasa qada’,nazar dan puasa isnin khamis.

ZAKAT FITRAH

Zakat fitrah diwajibkan keatas sesiapa yang mendapat sebahagian di bulan Ramadhan dan sebahgian di bulan Syawwal. Dengan kata lain, seseorang itu sempat hidup di bulan Ramadhan dan Syawwal. Walaupun kanak-kanak yang baru dilahirkan.
Zakat ini menjadi wajib sekiranya seseorang itu mempunyai harta yang lebih dari keperluannya perbelanjaannya dan tanggungannya bagi malam raya dan siangnya.
Waktu membayar zakat fitrah : Dari awal Ramadhan sehingga sebelum maghrib hari raya pertama. Akan tetapi waktu yang paling afdal (baik) ialah sebelum solat sunat hari raya.

BAGAIMANAKAH CARA SOLAT SUNAT HARI RAYA AIDILFITRI?

Solat sunat Hari Raya Aidilfitri adalah solat sunat 2 rakaat yang dilakukan di pagi hari raya. Hukumnya adalah sunat muakkad (sangat dituntut).
Cara solat hari raya adalah sama seperti solat biasa kecuali pada takbir. Lafaz niat solat Hari Raya ialah :

أصلي سنة عيد الفطري ركعتين مأموما لله تعالى

“Sahaja aku solat eidilfitri dua rakaat mengikut imam kerana Allah ta’ala”
Pada rakaat pertama sebelum membaca al-fatihah disunatkan takbir 7 kali (tidak termasuk takbiratul ihram), dan antara takbir diselangi dengan lafaz tasbih. Manakala pada rakaat kedua pula takbir sebanyak 5 kali.

Lafaz Takbir :
سُبْحَانَ اللهِ وَالحَمْدُ للهِ وَلاَ إِلَهَ إلا اللهُ وَاللهُ أكبَر


Peristiwa Penting yang berlaku di bulan Ramadhan :

• Diturunkan kitab suci al-Quran.
• Pembukaan kota Mekah pada Tahun ke-8 Hijrah.
• Peperangan badar berlaku pada 17 Ramadhan tahun kedua Hijrah.
• Pembukaan Andalus (Spain) pada 28 Ramadhan tahun 92 Hijrah.
• Kewajipan membayar zakat fitrah dua hari sebelum hari raya tahun kedua Hijrah.

WALLAHU A'LAM


Popular Posts

.

Sila Klik, Untuk  Menempah Web Profesional!
Facebook Page
Facebook Page
Back to Top